Pages

Thursday, March 3, 2016

RENCAH BERBEZA, NAMUN SULAMANNYA PENUH WARNA -Program Orang Asli , Kg. Sentoi, Pos Betau, Pahang pada 27 Feb – 28 Feb 2016 anjuran KINDNESS MALAYSIA (KM) dan ASDAF (Asrama Darul Falah, KL)-

Jumaat, 26 Feb , 10.30 malam – Sesi briefing diberikan kepada semua yang terlibat dengan program ini bagi memberi gambaran awal mengenai tujuan program dan bagaimana melaksanakan projek ini juga sedikit tips pantang larang semasa berada di Pos Betau nanti.  


Sekitar jam 11 malam, kami memulakan perjalanan. Konvoi 8 buah kereta dari Kuala Lumpur bersama 2 kenderaan rasmi Kindness Malaysia berjenama Haval M4 di bawah tajaan GoAuto menyusuri perjalanan malam yang sunyi. Sebuah kereta dari Tangkak, Johor juga mula bergerak yang mewakili 2 orang sukarelawan dari negeri Melaka dan Johor.

Perjalanan mengambil masa hampir 4 jam. Walaupun ada yang sesat gara-gara salah masuk simpang tetapi akhirnya kami semua tiba juga ke Kg Sentoi. Alhamdulillah. Suasana kampung masih sunyi memandangkan  semua masih lena diulit mimpi.


Memasuki perkampungan orang asal adalah pengalaman cukup unik kepada aku, terasa janggal juga. Dalam hati kuatkan semangat dan sentiasa beringat yang “aku juga anak kampung”.

Ada masa sebelum masuk waktu Subuh, kami sempat lelapkan mata seketika. Para sukarelawan semua menginap di surau lelaki dan perempuan. Bersebelahan sahaja surau perempuan dan lelaki.

Azan subuh berkumandang menandakan misi kami harus bermula seawal mungkin. Solat Subuh berjemaah kami mulakan sebagai tanda kami semua telah berada di perkampungan ini. Orang-orang kampung menyambut baik kedatangan kami.

Mentari makin menyinari. Tugasan pertama para sukarelawan – membaiki pintu yang tercabut. kehkehkeh! dasyaht sukarelawan KM ni, siap bawa engsel & alat pertukangan semua. 
Kenalah tutup, kalau tak... bahaya kepada kami semua lebih-lebih lagi wanita.

 Para sukarelawan ASDAF sibuk menyediakan sarapan pagi di dapur dengan bantuan daripada para sukarelawan KM. Di sudut ini, aku lihat kesepakatan antara sukarelawan semasa menyediakan makanan. Bukan senang nak dapat pengalaman seperti ini. Sepakat membawa berkat!


Makanan dah siap! Jom beratur ambil juadah pagi ini. Anak-anak orang asli memang tak sabar nak makan. Meriah juga sambutan mereka lebih-lebih lagi bab makan. Bukan selalu mereka dapat rezeki seperti ini.

 Aktiviti pertama kami bermula. Pertandingan mewarna khas untuk kanak-kanak orang asli. Dengan bimbingan saudari Fatin, anak-anak kecil ini nampak bersemangat menyertai pertandingan ini. Mana tidaknya, kalau menang, dapat hadiah! Setiap kanak-kanak akan diberi sekotak pensil warna yang dikhaskan untuk mereka. Boleh bawa pulang pensil warna ni. Yeay!! Para sukarelawan sedikit sebanyak membantu perjalanan program mewarna ini.


Selesai acara mewarna, kami semua turun padang untuk acara sukaneka pula. Maisng-masing tak sabar nak beraksi. Kanak-kanak dibahagikan kepada beberapa kumpulan sebelum acara sukaneka bermula. Pelbagai acara sukaneka seperti bawa bola pingpong dalam sudu dan meniup belon yang telah diatur oleh Person In Charge (PIC) iaitu saudara Hafiz dan Diwan. Menarik! Pelbagai reaksi dan gelagat anak-anak kecil ini.  Tersenyum kami semua sepanjang program ini berlangsung.
 



Bola sepak antara aktiviti wajib kalau turun ke Kampung Sentoi ni. Mereka sangat berbakat dalam sukan bola sepak. Panas mentari tidak menghalang mereka untuk sama-sama menunjukkan skill gelecek masing-masing. Hebat anak-anak muda di kampung ini.


Menjelang tengah hari, kami semua kelaparan. Hidangan tengah hari juga telah siap disediakan. Maka, kami semua ke dapur untuk mengagihkan makanan kepada penduduk kampung sambil mengisi kekosongan perut kami juga. Alhamdulillah syukur.. dah mengeluarkan peluh bersama penduduk kampung, kami makan bersama-sama.


 Selesai menikmati juadah tengah hari yang cukup istimewa hasil didikan abg Karim, Mak Esah, Fatin, Zaim & the gang (team ASDAF), kami ke surau untuk menunaikan solat Zohor berjemaah. Pendekatan dakwah sebegini adalah sebagai salah satu inisiatif untuk menarik penduduk orang asli mendekati agama Islam memandangkan rata-rata sebahagian mereka menganut agama Kristian.
 

Acara sukaneka bersambung semula. Meriah tak meriah lah kan. Dah penat ! peluh pun mengalir je ni ha. Apa kata kita ke sungai. Sungai??? Best ni!


 Aktviti santai kami pun bermula di sungai di belakang kawsan rumah penduduk kampung. Menghargai keindahan alam katanya. Memang indah! Sejuk airnya... tenang dan aman.. Anak-anak kecil ni sangat sporting dan tak pernah jemu layan kami. Rasa sayang sangat dengan mereka. Thank you adik2! Kakak sayang adik-adik semua.

Selesai menyegarkan diri, kami sempat rehatkan diri seketika di surau sementara menunggu azan Asar.

Selepas Asar, kami semua turun padang lagi bagi menyambung sesi sukaneka. Jom lihat gelagat penduduk kampong beraksi . Acara sukaneka kanak-kanak iaitu mencari gula-gula dalam tepung dan isi air dalam botol. Meriah!


 Di suatu sudut, acara boling padang dan mengepit belon untuk dewasa juga giat dilaksanakan. Boling padang kami menggunakan buah kelapa dan tin susu. Kreatif tak?



Yang paling mereka nantikan adalah acara menyumpit lelaki dan wanita dewasa! Yes, menyumpit belon.


Penutup sukan hari ini diakhiri dengan pertandingan bola tompar wanita antara penduduk Kg. Sentoi.


Setiap pertandingan sukan sepanjang hari ini, pihak kami akan terus memberi hadiah kepada semua pemenang. Sagu hati pun dapat tau. Seronok tau! Satu yang aku belajar dari sini adalah orang asli di sini sangat menghargai setiap pemberian tidak kira apa pun barang yang diterima walaupun cuma sebiji gula-gula apatah lagi barang keperluan harian seperti kepit kuku dan sikat rambut.
 




 Aktiviti malam hari kami di sini juga amat santai. Selesai solat Maghrib dan Isyak berjemaah dan juga selepas menikmati makan malam yang cukup lazat, kami dibawa ke rumah Tok Batin bagi mendalami dan menikmati acara SEWANG. Hah? Sewang? Apa ni? Aku asyik tersasul-sasul sebut rewang. Bukan rewang ye.
 Sewang ini adalah sejenis tarian yang diadakan jika berlaku kematian di kampung orang asli. Tetapi sewang malam itu diadakan sebagai tanda menyambut kedatangan kami para sukarelawan semua. Sangat sporting! Tarian yang sempoi dengan ketukan buluh yang menghasilkan muzik yang cukup meruntun kalbu. Trust me! Korang akan lupa segala masalah di KL kalau korang layan sewang ni. Bukan senang nak menari ye. Ada step dia. Sukarelawan kami juga taknak lepaskan peluang bersewang bersama penduduk org asli kat sini. Mesti cuba!

 Sewang tamat sekitar jam 12 malam. Kami semua pulang ke surau untuk acara TIDUR! Eh.. masa tidur lah pula kan.. lena betul tidur malam tu walaupun cuma beralaskan tikar dan kain batik. NO BANTAL PELUK ok! Hehe.

28 Feb , Ahad – hari terakhir kami di sini. Pagi ini setelah sarapan, sedikit senaman ringkas dilakukan bersama adik-adik comel dan pertandingan bola tampar lelaki juga turut diadakan. Perlawanan persahabatan bola tampar lelaki di antara KM, ASDAF dan penduduk Kg Sentoi juga sempat diadakan sebagi penutup aktiviti sukan di sini. 

 Di suatu sudut berdekatan tempat memasak,sesi agihan barangan sumbangan kepada para penduduk Kg Sentoi yang aktif membantu kami memasak juga sedang berlangsung. Terima kasih atas pertolongan mereka.

Sesi “lelong” pakaian juga diadakan sebelum berangkat pulang. Ni ala-ala free market la ni. Berebut-rebut mereka mendapatkan pakaian dan barang keperluan yang mereka inginkan. Ada handbeg, tuala, telekung, baju dan seluar hasil sumbangan orang ramai. Mereka di sini hidup serba kekurangan, jauh dari bandar.. sukar untuk mendapatkan pakaian mahupun barang keperluan harian.. jadi, tak hairanlah kalau berlaku perebutan dahsyat seperti ini di sini.. korang jgn terkejut pula kalau berdepan dengan situasi macam ni ok ;p



      Vitamin juga turut diberi kepada anak-anak org Asli di sini. Kesihatan kena jaga juga tau dik!

Sebelum berangkat meninggalkan kampong Sentoi, kami semua bersalam-salaman dengan penduduk kampung. Rasa berat hati nak tinggalkan mereka. Terpaut memori berharga di sini. Ada adik-adik yang memeluk erat kami. Aduh.. sebak rasa...

Gelang tangan!
Aku sempat bagi gelang tangan ni pada seorang adik comel, nama dia Ain. Baik budaknya. Untuk pengetahuan korang, para sukarelawan akan diberi 1 barang berharga berupa gelang kepada perempuan dan jam tangan kepada lelaki. Gelang dan jam tangan ini perlu dipakai sepanjang 2 hari kami kat sini dan perlu diberi kepada adik-adik yang rapat denga kita. Jadi, aku bagi pada Ain cute!

ni la adik ain cute. hehe

dalam dakapan tu adik firdaus. pun aku sayang. manja je budaknya.

Alhamdulillah...program Orang Asli terlaksana jua dengan jayanya. TERIMA KASIH semua yang terlibat.. penduduk kampung yang sangat baik hati.. terima kasih atas perkongsian pengalaman kehidupan sepanjang2 hari yang penuh bermakna di sini. Liku-liku perjalanan pulang dari Kg Sentoi kami lalui dengan seribu satu kenangan. Selamat tinggal adik-adik. Sampai masa, ketemu lagi.

Semasa pulang ke KL, kami sempat singgah di Cameron Highlands. Yelah.. kata Back To Nature.. wajarlah menghargai keindahan alam semulajadi macam kat Cameron ni. Hehe. Sempatlah ronda-ronda tengok ladang teh..sambil bergambar kenangan...
Inilah dia keluarga KM yang gigih menjayakan Program orang Asli kali ini. 2 hari tanpa line telefon, NO internet.. membuatkan kami lebih akrab dan fokus dalam menjalankan amanah sebagai sukarelawan di sini.. masing-masing dapat menjiwai watak, peranan dan tugas yang diberi.
Syabas semua!


Tepuk-tepuk terima kasih buat semua donor, para sukarelawan, abang akak Kindness Malaysia yg banyak memberi tunjuk ajar, team ASDAF, wakil Hashimiah, para penduduk Kg. Sentoi dan semua yg terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan projek ini.  Semoga Kindness Malaysia dapat terus memberi inspirasi kebaikan kepada semua. 





Alamak! Macam dah terindu tanpa sengaja kat penduduk Kg Sentoi, Pos Betau. Adik2 akak... akak rinduuuuuuuuuu laaa.....



 Ternyata, rencah kehidupan mereka di sana amat berbeza dengan kita
Tetapi sulamannya penuh warna
Kita dan mereka tetap datangnya dari tanah
Tetap sama, tiada beza
Tetap akan kembali ke tanah jua..

Buat semua, senantiasalah  mencari peluang berbuat baik:

* Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas kerana Allah
* FirmanNya "Tidak ada kebaikan dalam kebanyakkan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan antara manusia. Barang siapa melakukan hal itu kerana mengharapkan keredhaan Allah,nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar." (Surah al-Nisa':114)


Volunteer_
Kindness Malaysia
Iman Nur Alia