Pages

Thursday, July 14, 2016

^Projek TajaMereka di Sekolah Komuniti Rohingya, MRA, Cheras^

Syukur kepada Allah.. tarikh 18 Jun 2016 bersamaan hari Sabtu telah menyaksikan Kindness Malaysia dengan kerjsama MEPS meraikan anak-anak pelarian Islam Rohingya di Sekolah Komuniti Rohingya, MRA, Cheras.

Kindness Malaysia kali ini meraikan seramai 60 orang anak-anak pelarian Islam Rohingya, 10 orang sukarelawan Kindness Malaysia dan 11 orang sukarelawan dari pihak MEPS.   

2 tingkat Sekolah Komuniti Rohingya di Cheras berada di deretan kedai-kedai makan

 Projek TajaMereka dimulakan seawal jam 6 petang. Setibanya di sekolah tersebut, rakan-rakan sukarelawan membuat persiapan awal sambil mengemas apa yang perlu sementara menunggu pihak catering makanan tiba.

Sukarelawan Kindness membantu pihak catering menyediakan hidangan untuk berbuka

Sementara menunggu waktu berbuka, sesi suai kenal diadakan bersama anak-anak Rohingya. Masing-masing memperkenalkan diri dan beramah mesra.  Adik-adik di sini cukup peramah dengan kami semua. Bila ditanya apa cita-cita mereka, rata-rata ingin menjadi askar dan polis. Seronok dan geli hati melihat gelagat mereka.


Juadah kami pada petang itu adalah nasi tomato, ayam masak merah, acar, buah tembikai, kuih seri muka, popia, kurma dan air minuman selain pelbagai makanan ringan lain.


sesi memperkenalkan diri


Puan shamsiah selaku orang kuat MEPS memberi ucapan

Selesai sesi suai kenal, kami semua bersedia untuk menikmati juadah istimewa dari pihak catering. Alhamdulillah.. kali ini kami bawakan sedikit kelainan dengan makan beramai-ramai di dalam talam. Dah lama tak rasa suasana makan sebegini.


 Selesai solat, wakil MEPS dan Kindness Malaysia memberi sumbangan duit raya kepada anak-anak Rohingya ini. Semuanya nampak gembira menerima duit raya dan sedikit cenderahati kenang-kenangan dari kami.

 Selesai berbuka, kami bersama-sama menunaikan solat magrhib secara berjemaah

Alhamdulillah.. majlis berakhir sekitar jam 8.45 malam. Majlis yang ringkas tetapi pengisian yang cukup bermakna buat kami semua.


Surprise kek dari MEPS juga disediakan sempena ulangtahun kelahiran Puan Shamsiah (MEPS)

Sampul Kindness Malaysia yang berisi duit raya

Yassin, tasbih dan gula-gula sebagai cenderahati

 Bersama saudari Lydia dan ustaz yang menguruskan Sekolah Rohingya serta rakan-rakan MEPS & Kindness Malaysia


 Pengisian Projek TajaMereka kali ini lebih santai di mana kami dapat berbuka puasa bersama, mengenali sesama yang lain, merapatkan silaturrahim, menyemai sikap tolong menolong, menggembirakan anak-anak Rohingya selain melengkapi misi mengimarahkan bulan Ramadhan.

Semuanya pulang dengan gembira dan ternyata puas kerana dapat melihat anak-anak Rohingya ini tersenyum. Terima kasih pihak MEPS yang menaja, terima kasih juga kepada pihak Rohingya Community School termasuklah kesemua anak-anak Rohingya yang memberi kerjasama penuh dan menerima kedatangan kami dengan baik, juga untuk semua rakan-rakan sukarelawan Kindness Malaysia yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung demi menjayakan Projek TajaMereka.

Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik dari yang menerima. Bantulah apa sahaja kepada yang dikenali atau tidak. Pemberian bukanlah hanya sekadar pemberian berbentuk fizikal. Jika tidak ada wang atau material, bantulah dengan kiriman DOA, nasihat, harapan dan kegembiraan.

 Untuk itu, saya DOAkan semoga anak-anak Rohingya ini sentiasa berada dalam lindunganNya dan dapat menajalani kehidupan dengan lebih baik..
Semoga Allah memberkati kita semua.

Iman Nur Alia
Sukarelawan
Kindness Malaysia

^Projek TajaMereka di ASDAF (Asrama Darul Falah PERKIM), Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur^

Syukur alhamdulillah..Projek TajaMereka yang berlangsung pada 20 Jun 2016 bersamaan 15 Ramadhan 1437H,  berjalan lancar. Projek TajaMereka kali ini diadakan di Asrama Darul Falah (ASDAF), Bukit Persekutuan, KL. Seramai 60 orang anak-anak orang asli diraikan di majlis iftar ini.


ASDAF merupakan asrama yang dihuni oleh kanak-kanak masyarakat orang asli yang telah dipilih oleh PERKIM untuk bersekolah di bandar. Misi PERKIM adalah untuk menjaga kebajikan masyarakat orang asli serta memperbaiki kehidupan mereka ke arah lebih baik.
Rata-rata mereka terdiri daripada suku kaum Semai, Bateq, Mahmeri, Semelai, Temuan dan Temiar. Kebanyakan daripada mereka adalah anak yatim dan datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Kanan-kanak orang asli ini diberi pendidikan akademik dan ilmu agama di ASDAF dengan menghantar mereka ke sekolah-sekolah berdekatan.

Projek TajaMereka dimulakan seawal jam 6 petang di mana rakan-rakan sukarelawan tiba di asrama ini dan beramah mesra bersama penghuni ASDAF.



 Menu berbuka adalah nasi beriyani beras panjang, ayam masak masala, daging masak hitam, pajeri nenas, air asam utara, buah tembikai, 3 jenis air cordial, kuih muih, kurma dan bubur kacang merah.


Bacaan doa berbuka puasa diketuai abang Karim selaku individu yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal anak-anak orang asli di sini.



Selesai menimati juadah ringan, kami ke surau untuk solat maghrib berjemaah. Selepas solat maghrib, barulah kami menikmati makanan berat. Bukan senang dapat menikmati hidangan istimewa dan suasana makan beramai-ramai seperti ini. Inilah antara salah satu inisiatif Kindness Malaysia, memberi kegembiraan kepada anak-anak orang asli di sini. Sekurang-kurangnya dapatlah mengubat kerinduan mereka terhadap keluarga yang jauh di kampung.


 Kanak-kanak seakan tidak sabar untuk menerima duit raya. Sumbangan duit raya dan menu catering ditaja oleh syarikat arkitektur terkenal iaitu GDP Architects. Terima kasih yang tidak terhingga kepada penaja.

 
Acara penyampaian duit raya berakhir sekitar jam 8.45 malam. Kami seterusnya menunaikan solat isyak berjemaah dan berterawikh.

Selesai terawikh, anak-anak ini dibawa ke luar kawasan asrama untuk bermain bunga api dan mercun. Meriah dan anak-anak nyata teruja bermain bersama. Acara bermain bunga api ini memang biasa diadakan di ASDAF setiap kali majlis iftar diadakan oleh pihak kami. Ia antara idea menarik salah seorang sukarelawan Kindness untuk menghidupkan suasana Hari Raya yang bakal menjelma lebih kurang dua minggu lagi.

Selesai bermain bunga api, kami semua menikmati bubur kacang merah. Majlis berakhir pada jam 9.45 malam.
Kami semua pulang dengan gembira kerana  anak-anak ASDAF ternyata gembira dengan kehadiran kami.
Rasa bersyukur sangat-sangat kerana anak-anak di sini melayan kami dengan baik. Semoga hubungan baik ASDAF dan Kindness Malaysia akan berterusan pada masa-masa akan datang.

Alhamdulillah.. terima kasih para penaja, pihak catering, para penghuni dan staff ASDAF, sukarelawan Kindness Malaysia dan  semua yang menjayakan Projek TajaMereka untuk kali ini.


"i_man"
Sukarelawan
Kindness Malaysia