Pages

Thursday, July 14, 2016

^Projek TajaMereka di ASDAF (Asrama Darul Falah PERKIM), Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur^

Syukur alhamdulillah..Projek TajaMereka yang berlangsung pada 20 Jun 2016 bersamaan 15 Ramadhan 1437H,  berjalan lancar. Projek TajaMereka kali ini diadakan di Asrama Darul Falah (ASDAF), Bukit Persekutuan, KL. Seramai 60 orang anak-anak orang asli diraikan di majlis iftar ini.


ASDAF merupakan asrama yang dihuni oleh kanak-kanak masyarakat orang asli yang telah dipilih oleh PERKIM untuk bersekolah di bandar. Misi PERKIM adalah untuk menjaga kebajikan masyarakat orang asli serta memperbaiki kehidupan mereka ke arah lebih baik.
Rata-rata mereka terdiri daripada suku kaum Semai, Bateq, Mahmeri, Semelai, Temuan dan Temiar. Kebanyakan daripada mereka adalah anak yatim dan datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Kanan-kanak orang asli ini diberi pendidikan akademik dan ilmu agama di ASDAF dengan menghantar mereka ke sekolah-sekolah berdekatan.

Projek TajaMereka dimulakan seawal jam 6 petang di mana rakan-rakan sukarelawan tiba di asrama ini dan beramah mesra bersama penghuni ASDAF.



 Menu berbuka adalah nasi beriyani beras panjang, ayam masak masala, daging masak hitam, pajeri nenas, air asam utara, buah tembikai, 3 jenis air cordial, kuih muih, kurma dan bubur kacang merah.


Bacaan doa berbuka puasa diketuai abang Karim selaku individu yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal anak-anak orang asli di sini.



Selesai menimati juadah ringan, kami ke surau untuk solat maghrib berjemaah. Selepas solat maghrib, barulah kami menikmati makanan berat. Bukan senang dapat menikmati hidangan istimewa dan suasana makan beramai-ramai seperti ini. Inilah antara salah satu inisiatif Kindness Malaysia, memberi kegembiraan kepada anak-anak orang asli di sini. Sekurang-kurangnya dapatlah mengubat kerinduan mereka terhadap keluarga yang jauh di kampung.


 Kanak-kanak seakan tidak sabar untuk menerima duit raya. Sumbangan duit raya dan menu catering ditaja oleh syarikat arkitektur terkenal iaitu GDP Architects. Terima kasih yang tidak terhingga kepada penaja.

 
Acara penyampaian duit raya berakhir sekitar jam 8.45 malam. Kami seterusnya menunaikan solat isyak berjemaah dan berterawikh.

Selesai terawikh, anak-anak ini dibawa ke luar kawasan asrama untuk bermain bunga api dan mercun. Meriah dan anak-anak nyata teruja bermain bersama. Acara bermain bunga api ini memang biasa diadakan di ASDAF setiap kali majlis iftar diadakan oleh pihak kami. Ia antara idea menarik salah seorang sukarelawan Kindness untuk menghidupkan suasana Hari Raya yang bakal menjelma lebih kurang dua minggu lagi.

Selesai bermain bunga api, kami semua menikmati bubur kacang merah. Majlis berakhir pada jam 9.45 malam.
Kami semua pulang dengan gembira kerana  anak-anak ASDAF ternyata gembira dengan kehadiran kami.
Rasa bersyukur sangat-sangat kerana anak-anak di sini melayan kami dengan baik. Semoga hubungan baik ASDAF dan Kindness Malaysia akan berterusan pada masa-masa akan datang.

Alhamdulillah.. terima kasih para penaja, pihak catering, para penghuni dan staff ASDAF, sukarelawan Kindness Malaysia dan  semua yang menjayakan Projek TajaMereka untuk kali ini.


"i_man"
Sukarelawan
Kindness Malaysia


No comments: